AARON Aziz menyuarakan rasa terkilan kepada Persatuan SENIMAN Malaysia (SENIMAN) kerana tidak berusaha mempertahankan kontroversi membabitkan dirinya sejak memenangi gelaran Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011) sedangkan dia juga adalah ahli dalam persatuan itu.
Lebih mengecewakan, isu itu meleret-leret kerana selepas status kewarganegaraan dipersoalkan kali ini dia dicabar pula untuk mengemukakan permit kerja sah kerana bekerja dengan syarikat produksi di Malaysia.
Saya rasa lebih tersingkir daripada dilindungi sedangkan saya juga ahli SENIMAN. - Aaron Aziz
Walaupun itu sudah dilihat sebagai agak keterlaluan, Aaron dia masih berdiam diri serta berdiplomasi, malahan sedia menunjukkan permitnya kalau memang diminta berbuat demikian. Namun, lama kelamaan terdetik dalam hatinya kerana pihak yang banyak mempersoalkan dirinya adalah daripada SENIMAN dan dia juga menjadi ahli berdaftar dengan persatuan itu.
Justeru, dia tertanya-tanya dalam keadaan sekarang, di mana haknya sebagai ahli SENIMAN dan kenapa tidak ada pihak dalam persatuan ini tampil untuk membelanya.
“Saya rasa lebih tersingkir daripada dilindungi sedangkan saya juga ahli SENIMAN,” katanya ringkas kepada wartawan HIP di majlis memeterai perjanjian sebagai duta Yourgurt, di Kuala Lumpur, semalam.
Pelakon itu kemudian bertukar dokumen perjanjian ini dengan Pengurus Besar Yourgurt, Nor Ainna Ibrahim.
Bagaimanapun, Aaron menegaskan apa sekalipun yang berlaku tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berkerja dan berada dalam dunia seni di negara ini. Malahan, dia juga tidak mahu terus memperbesar-besarkan isu yang dibangkitkan oleh Pemangku Presiden SENIMAN, Zed Zaidi.
“Sebenarnya tiada siapa yang perlu membuktikan apa-apa di sini. Ini bukannya perlawanan bagi membuktikan siapa menang atau kalah. Saya sebenarnya mempunyai banyak lagi benda atau perkara lain yang perlu difikirkan, seperti keluarga dan anak-anak, dan saya rasa tidak penting untuk saya terlalu memikirkan isu berkenaan.
“Saya pun tidak boleh menghentikan Zed Zaidi dari bertindak, kerana dia mempunyai hak untuk berbuat sedemikian. Saya rasa ini semua berpandukan kepada dasar kematangan masing-masing, dan saya tiada masa untuk memikirkan apa yang dia cakap menerusi laman sosial. Biarlah dia ingin memperkata apa sekali pun, dia boleh mencari saya atau berdepan bila-bila masa dia mahu pun,” jelasnya lagi.
Tidak pernah untuk berasa sedih atau marah, Aaron berkata, dia kini amat bersyukur kerana mendapat tawaran tanpa putus dari produksi di Malaysia selain Singapura dan Brunei.
Jadual seni hero Ombak Rindu sememangnya padat hingga hujung tahun. Baru saja dilantik sebagai duta produk makanan, Yourgurt, Aaron akan sibuk menjalani penggambaran untuk beberapa filem, antaranya ialah Dampak danCicak Man 3.
“Semalam saya baru saja habis penggambaran untuk drama Tanah Kubur arahan Rashid Sibir. Kemudian pada pertengahan bulan depan akan memulakan penggambaran filem aksi iaitu Dampak dan seterusnya Cicak Man 3 serta ada dua lagi filem, satu filem cinta dan satu lagi thriller, yang mana kini masih dalam perbincangan.
“Selain itu, saya juga sedang berbincang dengan sebuah produksi dari Brunei untuk membintangi filem mereka. Saya mendapat banyak tawaran bukannya hanya selepas saya bergelar Bintang Popular tapi sebelum anugerah itu diberikan lagi, saya sudah menerima banyak tawaran.
“Anugerah Bintang Popular itu sebenarnya tidak banyak mengubah saya, kerana saya tetap sama. Selagi saya melakukan kerja dengan ikhlas, semua itu akan datang sendiri,” katanya yang akan berangkat ke Mekah hari ini bagi menunaikan umrah selama 12 hari.
Mengerjakan umrah buat kali kedua, Aaron bersama isterinya, Diyana Halik bukan sekadar melawat Tanah suci Makkah, tetapi turut menyatakan pemergiannya ke sana juga atas dasar kerja kerana akan menjayakan penggambaran drama bersiri 80 episod, Adam dan Hawa.
No comments:
Post a Comment