Thursday 10 May 2012

Berpesta di Tanjung Leman


SANTAI Selebriti dan Media yang diperkenalkan oleh Anita Entertainment & Production (AEP) buat sekian kalinya mengembangkan lagi sayap ke acara seterusnya untuk siri ke-14 di Tunjuk Laut Beach Resort sempena dengan Karnival Tanjung Leman, Johor.
Majlis anjuran Johor Corporation melalui anak syarikatnya, Damansara Asset Sdn. Bhd dengan kerjasama AEP dan Joran Bagus itu akan diadakan selama tiga hari bermula hari ini (11 Mei) hingga 13 Mei ini di tapak pantai awam Tanjung Leman dengan pelbagai aktiviti menarik diaturkan, antaranya demonstrasi visual pelancongan, tarian poco-poco, pertandingan karaoke, pertunjukan fesyen busana muslimah dan aktiviti sukan pantai. 
Acara lain yang diadakan adalah meniru suara burung, demonstrasi masakan laut, pertandingan tarik tali, pertandingan memancing serta persembahan dari artis seperti Nash (Lefthanded), Zaiton Sameon, Poey (Stings), Fit Hamzah, Royce Saayan, Chef Yang Jamil, penyanyi era 60-an A Rahman Onn, Ikka Rahman, Shiera Leesya (Harrtawan) dan Roslan Shah.

Jurucakap penganjur, Anita Yusop berkata, untuk pertandingan karaoke ia akan dilakukan selama dua hari bermula 12 Mei dari jam 11 tengah hari hingga 4 petang secara saringan dan selepas disenarai pendek iaitu hanya 10 finalis yang akan berentap pada 13 Mei sekali gus bakal membawa pulang wang tunai berserta trofi.

“Manakala bagi pertandingan memancing ia akan berlangsung pada hari terakhir dari jam 9 pagi hingga 1 petang di persisiran pantai Tanjung Leman dengan yuran penyertaan sebanyak RM60 seorang.

“Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang RM15,000 diikuti tempat kedua dengan RM4,000 dan tempat ketiga RM1,000. Malah tempat keempat hingga ke-30 juga turut disediakan wang sagu hati,” katanya.

Tambahnya, karnival kali ini tidak hanya berbentuk hiburan semata-mata tetapi diadakan untuk mengeratkan hubungan masyarakat bersama anak seni dan syarikat korporat.

No comments:

Post a Comment